My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, November 27, 2008

Potensi Sosial Budaya Aceh




Sebenarnya masyarakat Aceh memiliki karakter nilai-nilai Islam yang sangat kental. Warisan nilai budaya Aceh itu telah bersatu dalam diri dan masyarakatnya sehingga menjadi karakter dan watak dalam perwujudan kehidupan sehari-hari sebagai anggota masyarakat yang beriman, bertaqwa, beramal saleh, berkasih sayang, tolong-menolong, mengutamakan amanah dan kebenaran, memenuhi janji, bertanggungjawab, dan berdisiplin. Masyarakat Aceh sangat mementingkan harga diri dan mereka pantang tersinggung.

POLA KEHIDUPAN MASYARAKAT ACEH

Pola kehidupan masyarakat Aceh diatur oleh hukum adat yang berdasarkan kaidah-kaidah hukum agama Islam. Adapun susunan masyarakat adalah seperti berikut :

Golongan Rakyat Biasa; yang dalam istilah Aceh disebut Ureung Le (orang banyak). Disebut demikian kerana golongan ini merupakan golongan yang paling banyak (mayoritas) dalam masyarakat adat Aceh.

Golongan Hartawan; iaitu golongan yang bekerja keras dalam
mengembangkan ekonomi pribadi. Dari pribadi-pribadi yang sudah berada itulah terbentuknya suatu golongan masyarakat. Karena keberadaannya sehingga mereka menjelma menjadi golongan hartawan. Golongan ini cukup berperanan dalam soal-soal kemasyarakatan khususnya sebagai penyumbang-penyumbang dana.

Golongan ulama/cendikiawan; umumnya mereka berasal dari kalangan rakyat biasa yang memiliki ilmu pengetahuan yang menonjol. Sehingga mereka disebut sebagai orang alim dengan gelaran Teungku. Mereka cukup berperanan dalam masalah-masalah agama dan kemasyarakatan.

Golongan kaum bangsawan; termasuk didalamnya keturunan Sultan Aceh yang bergelar "Tuanku" keturunan "Uleebalang" yang bergelar "Teuku" (bagi laki-laki) dan "Cut" (bagi perempuan).

Selain pembahagian susunan masyarakat tersebut di atas, sistem kesatuan masyarakat Aceh, merupakan perwujudan dari beberapa buah keluarga inti, yang menjadi suatu kelompok masyarakat; yang disebut "Gampong" (Kampung). Sistem sosial pada masyarakat Aceh berpedoman pada keluarga inti. Setiap perbuatan yang dilakukan sebuah keluarga inti akan memberi pengaruh kepada keluarga lainnya. Dengan demikian hubungan antara satu keluarga inti dengan keluarga inti lainnya cuku
p erat.


SOSIOBUDAYA MASYARAKAT ACEH

Menerut dari pemerhatian saya, cara hidup masyarakat Aceh tidak banyak bezanya dengan cara hidup masyarakat Malaysia. Gaya hidup mereka sama juga dengan gaya hidup masyarakat di Malaysia. Cuma apa yang menarik minat saya mengenai mereka adalah mereka sangat menghormati waktu solat. Apabila azan berkumandang, mereka semua akan menghentikan segala aktiviti yang sedang mereka lakukan dan terus pergi menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim. Tidak kira siapa sahaja baik lelaki atau perempuan, tua atau muda semua akan berpusu-pusu ke masjid. Sebagai contoh, sewaktu kami tiba di kapal PLTD APUNG 1 kami tidak dibenarkan masuk kerana pada waktu itu, azan Asar baru sahaja berkumandang. Semua pekerja berhenti rehat untuk menunaikan solat fardhu Asar. Hal ini sangat mengagumkan kami.

Apabila ditanya mengenai peraturan dan undang-undang jalan raya, masyarakat Aceh akan ketawa. Ini kerana mereka sangat degil untuk mematuhi undang-undang jalan raya. Jika menunggang motosikal cukuplah jika salah seorang sahaja yang memakai topi keledar. Di Aceh juga, mereka tidak mamatuhi peraturan lampu isyarat. Pada pandangan kami, mereka memandu secara membabi buta. Tapi, yang menariknya, kecelakan jalan raya jarang sekali berlaku. Mereka juga gemar membunyikan hon secara kuat seolah-olah hanya mereka sahaja yang sedang menggunakan jalan raya ketika itu. Mereka hanya akan mematuhi peraturan jalan raya jika ada polis yang sedang membuat pemeriksaan. Kami pernah merasai pengalaman menunggang motosikal bersama mereka. Kecut perut kami sewaktu mereka memecut motosikal untuk melarikan diri kerana mereka mendapat maklumat bahawa polis sedang melakukan pemeriksaan di jalan yang bakal kami lalui.

Kebanyakan penduduk Aceh bekerja sebagai peniaga. Dari apa yang saya perhatikan selama berada di bumi Aceh ini, kebanyakan dari mereka memilih profesion sebagai seorang peniaga bagi meneruskan kehidupan. Ada juga yang bekerja sebagai pegawai pemerintah, ahli profesional, nelayan dan juga petani. Bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan, mereka memakai uniform mengikut warna berdasarkan kepada bahagian masing-masing. Selepas tamat waktu bekerja, kebanyakan masyarakat Aceh akan berkumpul di padang Masjid Besar Baiturrahman bagi menunggu ahli keluarga yang lain untuk pulang ke rumah bersama-sama.

Di Aceh juga terdapat banyak universiti-universiti didirikan bagi keperluan pendidikan anak-anak Aceh. Disini, semua anak-anak Aceh akan diberi peluang untuk belajar tidak kira mereka datang dari golongan kurang berkemampuan ataupun berada. Mahasiswa-mahasiswi di Aceh sangat bergiat aktif di dalam persatuan. Mereka juga sangat prihatin terhadap isu-isu semasa yang melanda negara mereka. Jika mereka tidak berpuas hati terhadap kerajaan, mereka akan melakukan ’aksi’ (demostrasi). Ini adalah salah satu dialog hasil dari temubual kami bersama salah seorang mahasiswi di sini, ”Jika tidak lakukan aksi, para pemerintah akan terus tidur lena tanpa memikirkan nasib rakyat” dan kami terus tersenyum mendengar jawapan dari mereka. Mereka juga sangat berminat untuk mengetahui mengenai sistem pembelajaran di Malaysia. Mereka beranggapan yang sistem pembelajaran di Malaysia lebih tinggi berbanding di Aceh kerana permohonan mereka untuk menyambung pelajaran di Malaysia sering sahaja di tolak. Apa yang menarik perhatian saya adalah mahasiswi di Aceh diwajibkan untuk memakai jilbab kerana ini sudah menjadi undang-undang masyarakat di sini. Bagi mereka, undang-undang ini wajib dipatuhi. Mahasisiwi bukan Islam juga diwajibkan untuk memakai jilbab. Menjadi tanda tanya kepada mereka mengapa umat Islam di Malaysia tidak kesemuanya memakai tudung. Walhal, ini adalah salah satu syariat yang wajib di penuhi bagi setiap wanita Islam.


SOSIOEKONOMI MASYARAKAT ACEH

Walaupun mundur dari segi infrastruktur tetapi keadaan sosioekonomi Aceh tidaklah seburuk yang disangkakan dan masalah sosial tidaklah berleluasa. Ini mugkin kerana bentuk muka buminya yang subur dan kaya sehingga tidak ada orang yang kelaparan dan hidup melarat. Ini adalah apa yang dikatakan oleh sesetengah penduduk.

Tetapi mengikut kepada penelitian kami, masih ada lagi pengemis yang merayau-rayau di bandar mahupun di desa. Ketika di jalanan, masih ada lagi pengemis yang merayau-rayau dari sebuah kereta ke sebuah kereta. Begitu juga di perhentian bas, dari satu stesen ke satu stesen yang lain pasti akan ada pengemis yang akan naik ke dalam bas untuk mengemis sesuap nasi. Hal ini amat memilukan hati bagi setiap mata yang memandang.

Aceh juga kaya dengan tanaman padi. Terdapat banyak sawah padi yang di usahakan di sepanjang jalan dari Bandar Aceh ke Kota Lhokseumawe. Hasil tanaman ini perlu lebih di komersialkan lagi bagi menampung keperluan penduduk dan juga untuk di eksport ke negara-negara luar. Aceh juga kaya dengan buah-buahan contohnya seperti buah evacado yang sangat enak di buat jus. Di Aceh, jus evacado sangat popular. Menurut dari pemerhatian saya, jus ini boleh di komersialkan di Malaysia kerana ianya sangat enak. Selain itu, ia juga mempunyai khasiat yang dipercayai boleh melicinkan kulit.


PUSAT PENGEMBANGAN ISLAM

Aceh sebenarnya merupakan pusat pengembangan Islam yang dikatakan paling awal dan terpenting di Nusantara melalui usaha para ulama dan pemerintah. Sebagai contoh 9 wali songo, 5 daripada mereka berasal daripada Aceh. Ulama-ulama yang terkenal di Aceh ialah Hamzah Fansuri (w. 1630), Shamsuddin as-Sumatrani (w. 1630), Nuruddin al-Raniry (w. 1658) dan Sheikh Abdul Rauf as-Singkili atau Syiah Kuala (w. 1683). Pemerintah Islam yang penting ialah Sultan Alaudin Riayat Syah IV (1589-1604), Sultan Muda Ali Riayat Syah V (1604-1607), Sultan Iskandar Muda (1607-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dan empat orang Ratu atau Sultanah yang berturut-turut memerintah selama 60 tahun (1641-1699), iaitu Sri Ratu Tajul Alam Safiatuddin Syah, Sri Ratu Nur Alam Nakiatuddin Syah, Sri Ratu Inayat Syah Zakiatuddin Syah dan Sri Ratu Kumala Syah. Tokoh-tokoh inilah yang telah memberi sumbangan besar dalam meletakkan Aceh sebagai Serambi Makkah.

Tetapi ada sesuatu yang sering menjadi tanda tanya di benak fikiran saya, mengapa lelaki dan perempuan boleh bersalaman sesama mereka. Apabila ditanya pada mereka yang arif tentang Islam, jawapannya adalah kerana di Aceh terdapat mazhab yang berbeza-beza. Tetapi bukankah ada hadis yang menyebut, ”Daripada kamu menyentuh kulit bukan muhrim, baiklah jika kamu memegang besi panas”. Saya masih tidak dapat menerima cara mereka yang satu ini. Ada juga yang menyatakan jika bersalaman dengan yang bukan muhrim yang sudah tua dan tidak bernafsu lagi dibolehkan. Jika ini saya masih boleh terima tetapi bagi yang muda saya memang tidak boleh menerima. Mereka juga bebas menunggang motosikal bersama dengan yang bukan muhrim. Hal ini juga menjadi tanda tanya dalam fikiran saya dan saya masih lagi tidak dapat menerima cara mereka. Kami juga ada menanyakan persoalan ini kepada salah seorang mahasiswi di Universitas Malikussaleh, beliau memberikan jawapan yang bukan muhrim sama sekali tidak boleh bersentuhan kecuali suami isteri dan muhrim mereka. Jadi, tidak semua masyarakat Aceh berfahaman seperti ini, hanya sebilangan dari mereka sahaja.

Satu lagi budaya mereka yang menarik perhatian kami adalah cara mereka meraikan tetamu. Mahasiswa dan mahasiswi di sini meraikan kedatangan kami dengan mengajak kami berlibur di Kota Lhokseumawe pada malam hari. Jika di Malaysia, hal ini umpama seperti melepak di jalanan. Yang pelik dan menariknya, mereka semua adalah golongan cerdik pandai yang apabila berbicara semua orang akan terdiam dan mereka banyak membincangkan mengenai isu-isu semasa. Kami anggap ini sebagai cara atau budaya mereka meraikan tetamu.


KESIMPULAN

Suasana Islami di bumi Aceh sangat menarik minat kami untuk terus bermastautin disini. Jelas terbukti yang masyarakat Aceh sangat mesra dan ramah melayan tetamu. Mereka sangat berlapang dada menerima kunjungan kami. Mereka juga mudah untuk memberikan kerjasama terhadap kajian yang kami lakukan. Apa yang menariknya, mahasiswa dan mahasiswi di Aceh sendiri tidak mengetahui mengenai sejarah Aceh yang sedalamnya, kajian yang kami lakukan telah membuka mata mereka mengenai sejarah Aceh. Warisan nenek moyang yang seharusnya mereka banggakan dan semat di dalam jiwa masing-masing.

Selain itu, kami juga ada bertemu dengan Ketua Dinas Budaya Parwisata Pemuda dan Olahraga (DISBUDPARPORA), Kabupaten Aceh Utara, Pak Munawwar. Menurut beliau, pihak Dinas Budaya telah membuat perancangan untuk membina satu kawasan yang akan menempatkan semua bahan-bahan bersejarah yang akan dinamakan Monumen Pasai. Permohonan itu telah dibuat oleh pihak beliau kepada Kerajaan Indonesia tetapi setakat ini masih belum mendapat kata putus. Jadi, beliau sangat mengharapkan bantuan dari pihak Malaysia. Bahan-bahan ini sangat berguna sebagai bukti sejarah untuk generasi yang seterusnya.

Wednesday, November 26, 2008

Islah/Tajdid: Realiti Masyarakat Islam


Jika di kaji dari sudut sejarah dan perkembangan Islam, umat Islam sememangnya kuat dari segala aspek jika hendak dibandingkan dengan pemikir-pemikir Barat. Akan tetapi corak pemikiran umat Islam telah dikuasai oleh orang-orang Barat sejak tahun 1960-an lagi. Rata-rata minda umat Islam telah dipengaruhi oleh anasir-anasir dari Barat melalui sifat materialistik, sekularisme dan nasionalisme yang sekarang sudah bermaharajalela di dunia. Aliran-aliran tersebut tidak hanya mengancam kehidupan Islam sahaja, tetapi juga mengancam seluruh umat manusia.

Kita seharusnya menghargai perjuangan Rasulullah dan para sahabat terdahulu ketika mereka bersusah payah menggembangkan ajaran Islam ke seluruh pelusuk dunia. Tetapi sebagai manusia, kita mudah lupa. Pemikiran kita telah dikuasai sepenuhnya. Kita selalu beranggapan yang kuasa Barat lebih kuat. Tidakkah kita sedar, jika semua umat Islam bersatu padu dan berganding bahu kita mampu untuk menjadi kuat seterusnya memartabatkan Islam sebagai agama ikutan di seluruh dunia.

Sebenarnya, pemikiran umat Islam telah dijajah sejak berkurun lamanya. Dalam buku 'Islam in Modern History' yang ditulis oleh Prof. Wilfred Cantwell Smith mengatakan bahawa sekularisme dan westernisme itu sesuai dengan Islam dan 'pembaharuan' yang dibawa oleh Kamal Ataturk di Turki menawarkan model yang paling baik untuk ditiru oleh negara-negara Islam yang lain.

Pembaharuan kepada sesuatu yang baik tidak salah jika ianya belandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi yang menjadi masalahnya sekarang adalah pembaharuan yang tidak mampu memberi impak yang berkesan terhadap pembentukan masyarakat dan kebudayaan. Sekularisme, nasionalisme dan materialisme masa kini diceduk dari falsafah-falsafah yang membangkitkan revolusi Perancis, seperti Voltaire, Rousseau, Montesquieau dan lain-lain. Mereka adalah pembenci-pembenci fanatik terhadap seluruh agama. Marekalah yang bertanggungjawab terhadap adanya keyakinan yang menyatakan bahawa manusia dapat maju dan mencapai keselamatan tanpa Tuhan. Khayalan bahawa manusia tidak bergantung pada Allah dan bahawa Hari Akhirat tidak ada, akan membawa kepada keyakinan bahawa tujuan utama kehidupan umat manusia adalah kemajuan material.

Orang-orang Islam kebarat-baratan yang kekurangan semangat Islam adalah hasil daripada penjajahan Barat atas negara-negara Islam. Pukulan terberat yang telah ditimpakan oleh penjajahan atas kita bukanlah di lapangan politik ataupun ekonomi, tetapi melalui pemikiran dan semangat.

Luahan Sang Puteri...



Terkadang hati ini tertanya-tanya….kenapa masih perlu menunggu? Sedangkan aku tahu, aku telahpun menemui mujahidku… diri ini terlalu yakin, dialah jawapan doa hari2 ku… “Ya Allah, kurniakanlah kepada ku hamba Mu yg soleh sebagai suami, agar dia dapat membimbingku menuju syurgaMu…”

Resah gelisah hati menunggu…mengira setiap detik dan waktu, impian itu menjadi kenyataan… bersama-sama si mujahid… menemaninya dalam perjuangannya… eh?? perjuangan?? Ya Allah…aku lupa lg… seorang mujahid, tujuannya satu… berjuang malah berkorban utk menegakkan Deen-ul-haqq… walau telah bergelar suami, perjuangan tetap berjalan.. pengorbanan tetap diteruskan!! Malah itu juga seharusnya menjadi perjuangan aku juga bukan?..



“Allah tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya….” [33:4]

Hati si mujahid telahpun sarat dgn cinta kepada Rabbnya.. yg menjadi pendorong kepada perjuangannya.. (begitulah haprapnya) .. mana mungkin pada masa yg sama, si mujahid menyintai ku (setelah bergelar isteri) dengan sepenuh hatinya? Walaupun setelah ku curahkan selautan sayang.. ku legakn penat lelah perjuangannya dengan gurauan manja.. ku cukupkan makan pakainya….si mujahid masih tidak boleh leka dr perjuangannya!! Ya Allah, aku kah yang akan menjadi fitnah yang melekakannya dari perjuangannya yg dulu cukup ikhlas hanya untuk Rabbnya???…..



“Katakanlah, “ Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, ISTERI-ISTERImu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuwatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya” dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”…..[9:24]

Oh tidak!! Aku tidak mahu menjadi penyebab si mujahid leka akan tanggungjawabnya yang lebih besar…tanggungjawabnya utk Ad-Deen ini…. Tapi sanggupkah??…sanggupkah diri ini hanya memperoleh secebis hati si mujahid yg telah sarat dgn cintanya kepada yg lebih berhak?? Sanggupkah diri ini sering ditinggalkn tatkala si mujahid perlu ke medan juang?? Malah sanggupkah diri ini melepaskn si mujahid pergi sedangkn hati ini tahu si mujahid yg teramat di cintai mungkin akan keguguran di medan juang??..sanggupkah???

Ya Allah… Layakkah diri ini menginginkan suami semulia Rasulullah..sedangkn diri ini tidak sehebat Khadijah mahupun Aisyah… Lihat sahaja isteri-isteri Nabi… Ummul-muslimin…Ummi-ummi kita…lihat saja perjuangan dan pengorbanan mereka… lihat sahaja ketabahan hati mereka… sehinggakn setelah diberi pilihan antara cinta duniawi dan cinta mereka terhadap Allah dan Rasul…Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu “Jika kamu menginginkan kehidupan di dunia dan perhiasannya, maka kemarilah agar kuberikan kepadamu mut’ah dan ku ceraikan kamu dengan cara yang baik“ [33:28]

Allah dan Rasul tetap menjadi pilihan! Mampukah aku menjadi seperti mereka?? Mampukah aku membuat pilihan yang sama kelak, setelah mabuk di lautan cinta kehidupan berumah tangga?? Mampukah aku mengingatkn si mujahid tatkala dia terlupa dan terleka dari cintanya dan tugasnya demi Rabbnya?? Atau aku juga akan turut hanyut malah lebih melemaskn lagi si mujahid dengan cinta duniawi??

Ah sudah wahai hati, hentikan saja angan-anganmu, hentikan saja kiraan waktumu…. Masanya belum tiba utuk kau memiliki si mujahid, kerana kau sendiri belum lagi menjadi seorang mujahidah yang sebenar!! Hati, janganlah kau sibuk mengejar cinta mujahid, tetapi kejarlah cinta Penciptanya…Hati, janganlah kau lekakan aku dengan angan-anganmu…sedangkan masih terlalu banyak ilmu yg perlu ku raih…. Hati, sedarkah engkau ujian itu sunnah perjuangan??…tapi kau masih terlau rapuh utk menghadapinya…kau perlu tabah!! dan aku tahu, kau tak mampu utk menjadi sebegitu tabah hanya dalam sehari dua… Duhai hati… bersabarlah… perjalanan kita masih jauh…. bersabarlah… teruskan doamu… hari itu akan tiba jua…. apabila engkau telah bersedia menghadapinya kelak…. bersabarlah…..


Petikan dari Izzah..huhu..

Induksi Pimpinan PKPIM 08/09...

"Rencanaku Yang Baru"

Alhamdulillah, tamatlah sudah induksi pimpinan PKPIM sesi 08/09 yang telah berlangsung pada 21-23 November bertempat di Janda Baik. Maka dengan ini, bermulalah kehidupan ku yang baru sebagai hamba di muka bumi ini. Baru aku sedar, tanggungjawab yang aku pikul sekarang sudah semakin berat. Aku harus laksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin. Bila sekali hati sudah terikat, insyaAllah selamanya akan terus kekal di medan yang aku sendiri pilih tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

Objektif utama induksi kali ini adalah:
- Untuk membina Ukhuwwah Islamiyyah
- Merancang perjalanan gerakan
- Menilai prestasi gerakan

Hasil daripada induksi kali ini, aku gariskan tahap yang perlu aku capai untuk terus berjaya di masa akan datang.
My Key Performance Index (KPI):
- Gandakan bilangan buku yang dibaca
- Menghadiri program2 ilmiah
- Menulis seberapa banyak artikel dan diterbitkan
- Program2 yang dirancang harus dilaksanakan
- Kader ahli2 baru
- Penuhkan ilmu didada
- Jangan hanya jadi penumpang tapi suarakan pendapat

Dan yang paling utama aku kena FOKUS! FOKUS! dan terus FOKUS!... Aku sangat mengharapkan bantuan, sokongan, dan tunjuk ajar dari pelbagai pihak agar aku mampu untuk terus maju ke hadapan dan terus Istiqamah...


Moto HEWI:

"SEGAR, GEGAR.... MARA KE HADAPAN !!!
Didoakan agar HEWI2 terus Istiqamah, tabah, dan kuat untuk meneruskan perjuangan. Tanpa kalian...mungkin institusi kita akan sedikit pincang...huhu. kerana disebalik kejayaan lelaki pasti ada wanita yang menjadi penyokong mereka...

MEMORANDUM Penempatan Semula Pelarian Pelastin...

21 November, Putrajaya – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas rasa prihatin dan sifat kemanusiaan, hari ini menyerahkan ‘Memorandum Penempatan Semula Pelarian Palestin yang Berada di Kem Pelarian Sempadan Syria-Iraq di Malaysia’ kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada pukul 10.30 pagi tadi. Memorandum tersebut bertujuan untuk menggesa kerajaan Malaysia menerima program penempatan semula pelarian Palestin yang kini berada di kem pelarian sempadan Syria-Iraq di Malaysia. Penyerahan memorandum tersebut dilaksanakan oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM yang turut disertai oleh wakil daripada Citizen International dan Muslim Care Malaysia.

PKPIM diwakili oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz di dalam misi lawatan yang diselia dan diselenggara oleh United Nations High Commissioners for Refugees (UNHCR) pada 9 hingga 13 November 2008 lalu ke tiga buah kem Pelarian Palestin iaitu Al-Waleed sempadan Syria), Al- Tanf (di antara Syria dan Iraq di “no mans land”) dan El-Hol (di dalam Syria berdekatan sempadan Iraq). Matlamat akhir lawatan tersebut adalah untuk mencari jalan penyelesaian penempatan semula pelarian Palestin ke negara-negara lain agar penderitaan hidup yang mereka alami di perkhemahan pelarian yang wujud sejak hampir tiga tahun itu dapat diakhiri untuk menjamin masa depan anak-anak mereka. (dalam Iraq berdekatan dengan

Memorandum tersebut diterima oleh Mazwan Abdul Manan, Penolong Setiausaha Sulit Perdana Menteri mewakili Perdana Menteri di lobi tingkat 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Dalam sesi perbincangan bersama beliau, Muhammad Faisal Abdul Aziz bersama Tuan Haji Azmi Abdul Hamid yang mewakili Citizen International memberi penekanan kepada beberapa gesaan seperti yang terkandung di dalam memorandum yang diserahkan.

Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, PKPIM menggesa Malaysia untuk menjadi negara OIC yang pertama menerima penempatan semula pelarian Palestin di Malaysia sepertimana yang telah pun dilaksanakan oleh beberapa negara barat yang lebih dahulu memberi penempatan semula kepada pelarian Palestin di negara mereka. PKPIM turut menuntut Malaysia, sebagai negara yang sering dijadikan contoh di dalam OIC untuk menyeru dan menggesa negara-negara OIC yang lain untuk turut menerima program penempatan semula pelarian Palestin di negara masing-masing.

Penyerahan memorandum tersebut turut disaksikan oleh perwakilan daripada beberapa pertubuhan yang turut hadir memberikan sokongan iaitu Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad, Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Ahmad Shahir Abdul Aziz, Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak.

Selamatkan Bahasa Melayu...



"Bahasa Jiwa Bangsa"
Tanpa bahasa, sesuatu bangsa tidak akan mempunyai identiti sendiri. Jadi apa peranan kita sebagai rakyat Malaysia??? Kita seharusnya bangkit bersama-sama mempertahankan Bahasa Melayu dari terus luput di muka bumi ini. Ayuh kita tentang penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Kita seharusnya mengambil kira tentang situasi pelajar-pelajar di kawasan pedalaman. Bagaimana mereka akan berjaya jika penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran utama masih diteruskan? Cuba kita renungkan, akibat daripada situasi ini akan terjadilah banyak masalah-masalah sosial di kalangan muda-mudi apabila mereka hilang minat untuk belajar.
Selain itu, pelajar-pelajar zaman sekarang hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan tetapi bukan untuk pengamalan dalam kehidupan seharian. Seharusnya Ilmu harus terus kekal dalam hati setiap individu sebagai bekalan di dunia dan akhirat bukan hanya sekadar penghafalan untuk lulus dalam peperiksaan sahaja.
Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang unik dan sangat istimewa. Sebenarnya, masyarakat Melayu terkenal dengan budi bahasa yang tinggi dan bersopan santun adalah disebabkan oleh Bahasa Melayu itu sendiri.


Coretan pertama....

Alhamdulillah...akhirnya berjaya juga aku menghasilkan blog setelah dibebel oleh sahabat-sahabat. Sebenarnya aku tak berminat pun nak buat blog ni. Tapi dah menjadi satu kewajipan bagi aku untuk mempunyai blog sendiri...huhu