My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, July 2, 2009

PERISTIWA HITAM TANAH MELAYU 16 JUN 1948


Rakyat tempatan terutama generasi selepas merdeka sudah pasti tidak meletak sebarang keistimewaan kepada tarikh 16 Jun, walaupun mata pelajaran Sejarah Tingkatan 3 ada mencatat tarikh berkenaan dan peristiwa yang tercetus pada hari terbabit 61 tahun lalu.

Tanggal 16 Jun 1948 adalah hari bermulanya komunis Tanah Melayu mengganas tanpa ampun dan Kerajaan British ketika itu, menjalankan gerak gempur secara habis-habisan dengan mengisytiharkan darurat di bumi tercinta ini.

Pada pagi hari malang 61 tahun lalu itu, pengganas komunis menyerbu ke Estet Elpil, di Sungai Siput, Perak dan tanpa teragak-agak menembak mati pengurusnya, Arthur E Walker, 50. Pada masa yang sama, satu kumpulan lain menyerang ladang getah bersebelahan dengan membunuh pembantu pengurus, Ian Deare Christian, yang baru berusia 21 tahun sebelum menembak mati pengurusnya, John Mun Allison.

Tiga tragedi pada pagi itu bukan saja mengejutkan penghuni ladang getah, bukan saja di Perak bahkan ke seluruh ladang di Tanah Melayu, yang hampir semuanya milik Inggeris dan ia dilihat sebagai kempen keganasan komunis yang memang sengaja disasarkan kepada bangsa British yang berada di tanah air ketika itu.

Mengimbau sejarah awal, ideology komunis tiba di Tanah Melayu pada 1920-an terutama sekitar 1925. Imigran Cina membawa buku dan risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil kegiatan mereka, guru dan pelajar sekolah Cina menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada 1926 dan ideologi komunis mula disebarkan, berpaksikan Parti Kuomintang (KMT) yang bekerjasama dengan Parti Komunis China (PKC) di China.

Perpecahan KMT-PKC pada 1927 menyebabkan PKC menghantar lima wakilnya ke Tanah Melayu dan berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada 1927, sebelum mewujudkan Parti Komunis Malaysia (PKM) pada 6 April 1930 yang beribu pejabat di Singapura.
PKM diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia, selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu dan parti itu diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh, yang berpusat di Shanghai.

No comments: