My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, June 17, 2009

Penghargaan Buat Insan Yang Bergelar Ibu dan Ayah…

Disebabkan aku tak berpeluang nak menghurai mengenai pengorbanan ibu pada hari ibu yang lalu, jadi aku gabungkan sekali coretan aku mengenai ibu pada hari bapa.

Ibu…
Merupakan permata hati keluarga yang tiada tolak bandingannya. Pengorbanan ibu buat diri aku terlalu banyak sehingga tak mampu aku nak membalasnya. Ibu selalu memahami aku walau aku sendiri tak pernah nak bercerita. Inilah naluri keibuan yang sangat aku kagumi. Biarpun aku berada jauh beribu batu dari pandangan ibu, ibu tetap dapat merasai apa yang aku rasa.

Ibu…
Merupakan seorang wanita yang sangat tabah. Ibu seorang yang penyabar di dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran hidup. Ibu mampu menyembunyikan kedukaan dan kelukaan hatinya pada pandangan kasar. Tapi jauh di sudut hatinya…tiada siapa yang tahu. Aku sendiri tidak mampu nak menerokai apa yang ada disudut dasar hati ibu. Aku sangat mengagumi sifat ibu yang satu ini. Mudah-mudahan aku juga akan mewarisi sifat ibu yang ini.

Walaupun ibu suka berceloteh, aku masih mampu untuk menjadi pendengar yang setia pada setiap butir bicara ibu…aku tahu, ibu sedang mengeluarkan apa yang dia rasa. Apa yang selama ini terpendam didalam hatinya. Aku berjanji sehingga ke akhir hayatku, aku ingin menjadi pendengar yang setia pada setiap butir bicara ibu.

Ibu selalu ada, baik ketika aku susah atau senang. Bila aku menangis, kadang-kadang ibu juga akan turut menangis sama. Ibu selalu memujuk aku dengan kata-kata keramatnya. Hampir setiap yang berlaku pada aku, aku akan kongsikan bersama ibu kerana tiada rahsia diantara kami. Aku memang tak boleh berahsia dengan ibu. Kadang-kadang, bila aku pulang ke rumah ibu akan memperuntukkan sedikit waktu hanya untuk mendengar aku bercerita…kadang-kadang sampi ke pagi. Pernah satu ketika, aku merajuk kerana ibu terlalu sibuk dan tidak sempat meluangkan masa bersama aku. Tapi akhirnya, ibu pulang awal ke rumah.

Ibu selalu berkata yang aku ni macam anak ibu yang bongsu, bukannya anak ibu yang sulung. Anak yang bongsu pulak macam anak yang sulung. Tak dinafikan aku memang manja mengalahkan adik-adik yang lain. Ini kerana aku jarang berada di rumah. Jadi, aku akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin.

Ramai orang kata, aku mewarisi sifat ibu yang suka berdebat dan selalu nak menang…huhu. Memang sifat seorang anak tu akan mewarisi sedikit sifat ibunya. Aku sangat menyayangi ibu sehinggakan perasaan itu tak mampu diluah dengan kata-kata. Jasa dan bakti ibu hanya Allah yang dapat membalasnya…

Ayah…
Merupakan individu yang sangat aku kagumi. Ayah seorang yang sangat tenang dan mampu mengawal situasi. Ayah juga seorang yang sangat lembut dan penyabar. Dalam kelembutannya, ayah seorang yang sangat tegas. Ayah tak selalu marah, tapi bila sekali ayah marah…bergegar seluruh rumah.

Ayah selalu menghiburkan aku. Ayah seorang yang berjiwa seni, hampir semua alat muzik ayah boleh main. Sebut je nak lagu apa. Ayah tak pernah nak mengecewakan aku. Aku selalu berkata, ayah senang nak dapat pahala sebab ayah selalu menggembirakan hati anak-anak perempuannya. Seorang ayah senang nak dapat pahala cukup dengan dia menggembirakan hati anak-anak perempuannya.

Ayah juga seorang yang berjiwa romantik dan suka memuji. Ayah selalu memuji yang masakan aku sedap. Walaupun kadang-kadang aku rasa tak lah sedap mana pun. Ayah selalu cakap, “Sedapnya…boleh buka kedai ni”. Ayah akan selalu cuba untuk memenuhi setiap permintaan anak-anaknya dan akan cuba untuk tidak mengecewakan hati anak-anaknya.

Seperti ibu, ayah juga selalu berkongsi masalahnya dengan aku. Kata ayah, sebagai anak sulung aku kena tahu semua benda dan aku kena matang. Ayah juga selalu meminta pandangan aku mengenai sesuatu perkara. Aku akan cuba memberikan penyelesaian yang terbaik. Kadang-kadang pandangan aku yang akan diutamakan.

Aku ingin menjadi seperti ayah yang sangat pandai memanipulasikan keadaan dan rasional dalam membuat keputusan. Seperti ibu, ayah juga seorang yang sangat tabah menghadapi liku-liku hidup. Gagal sekali tak bermakna kita akan gagal selamanya. Pengalaman lalu banyak mengajar ayah erti hidup yang sebenarnya. Aku juga banyak belajar memahami erti hidup melalui pengalaman ayah dan ibu.

Satu yang aku sangat kagum dengan ayah…ayah sangat risaukan jodoh anak-anak perempuannya. Ayah takut jika kami tersalah memilih orang. Ayah pernah cakap, “Ayah tak pernah mengamuk…tapi kalau orang buat bukan-bukan pada anak ayah, tengoklah nanti”. Pengalaman hidup sahabat handainya menjadikan ayah begitu takut dengan jodoh anak-anaknya. Sampaikan aku sendiri pun takut nak kawin…huhu.

Aku mewarisi sifat ayah yang sangat pandai berdiplomasi dan berkomunikasi dengan orang. Selain itu, aku juga mewarisi sifat ayah yang sangat sensitif. Apa pun keadaannya, aku sangat sayangkan ayah. Jasa ayah tak dapat aku balas dengan wang ringgit.

**Aku sangat sensitif dengan apa-apa sahaja yang melibatkan ayah dan ibu. Airmata aku sangat mudah untuk mengalir bila melibatkan mereka. Hatta setiap butir bicara mereka juga sangat mudah membuatkan aku menangis. Sampai ibu dan ayah selalu mengatakan yang aku ni memang kuat menangis sejak dari kecil sampai lah besar. Aku tak sanggup melihat mereka sedih dan susah hati.

**Aku doakan moga kedua-dua insan yang aku sayangi ini ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman diakhirat kelak dan dipermudahkan segala urusan. Tanpa mereka, siapalah aku…

Terima Kasih Ibu…
Terima Kasih Ayah…
Kerana selama ini kalian sangat memahami perjuangan anakmu ini…




No comments: