My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, January 4, 2010

.: Cinta Kita, Cinta Perjuangan :.

"Enti menangis..?"
"Untuk apa ana menangis, bukankah enta selalu pesan, jangan menangis kerana manusia."
"Habis, mata enti berair?"


"Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair."
Aku tersenyum. Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan 'masuk habuk' yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.
"Ana tahu enti menangis.."
"Tidak…!! Tak faham-faham ke?!" Dia tiba-tiba membentak.


"Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama.." "Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap enta tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…"


"Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?"
"Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah.."


"Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?" Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.


"Enta punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum.." Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?

…………………………………………

"Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!" Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya. "Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?" Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.


"Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?" Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap 'hangat' pada malam ini.


"Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai'ah? Bezanya, bai'ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!"


"Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?"
"Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu." "Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz." Dia menamatkan 'soalannya' lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.

………………………………………

"Kau kenal dia Abdullah?" Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.


"Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!" Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.


"Jawab soalan aku dulu.."
"Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…" Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.


"Jawab soalan aku dulu.." Aku memohon untuk kali kedua.
"Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan 'kalah' dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!"
"Jawab soalan aku dulu.." Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.
"Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "


"Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan."
"Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka.." Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.
"Lagi.. negatifnya?"


"Negatifnya.. banyak.." Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung,
"Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu."


"Apa dia..? Negatifkah?"
"Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi."
"Gerakan militankah?"


"Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat 'hazar' yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!"
"Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?"


"Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hunungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!"


"Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?" Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah.


"Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai'ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!"

…………………………………………

Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?
"Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?"
"Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.


"Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya." Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.


"Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya' ana sudah mempunyai 'ikatan' di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti." Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.
"Ustaz tidak main-mainkan ana?"


"Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain."


"Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana.." Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi 'perisik'ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.

…………………………………………

Sudah lima bulan aku di bumi ambiya', suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya' ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..


"Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar.." dan dia akan terus menyambung, "Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut.."


Dan biasanya aku akan 'cemburu' dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku. Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber Café yang menjadi rumah 'kedua'ku. Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, "SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV' Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej : "you have 1 unread message' namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan. "Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. 'Dia' yang kau amanahkan padaku untuk 'tengok-tengok' telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah 'dia', tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!" Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,
"Akhi, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!"
Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!
The End~ Wassalam~


"Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera agama. Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata. yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat ruhani, sempurna hati. Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat. Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana ana serikandi dengan silam yang kelam. Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia. Dan yang akan terjadi, andai tak sama kehendak hati, ana redha ketetapan Ilahi" Dia lebih mengetahui segala yang terbaik...

Friday, December 11, 2009

Hasratku Keliru...

Alhamdulillah...perjalanan hidupku pada hari ini terasa nikmatnya. Besyukur pada Yang Pemberi Nikmat dan peluang untuk meneruskan hidup. Semenjak dua menjak ini, macam-macam yang berlaku. Sahabatku didatangi ujian yang begitu hebat. Ayahku pula tidak berapa sihat. Ibu tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapinya seorang diri bersama adik-adikku yang lain...Sebelum aku pulang, ayah sempat menitipkan beberapa nasihat. Kata ayah aku harus kuat untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran kerana kata ayah lagi, dalam anak-anak ayah dan ibu hati dan semangatku paling kuat. Aku mendoakan agar ayah cepat sembuh dan kuat melawan penyakit kerana aku belum cukup kuat untuk menghadapi segala kemungkinan. Aku sayu dan tak sanggup untuk menatap sinar mata ibu...

Sebagai hamba Allah...kita akan selalu dan sentiasa diuji olehNya untuk melihat sejauh mana tahap kecintaan kita padaNya. Hanya Allah tempat aku bergantung harap dan memohon kekuatan.

Hasrat hatiku keliru bila aku didatangi dengan pelbagai tawaran. Mana satu pilihan jalan hidupku???Tapi, tanpa sedar aku sudah pun bertatih ke arah itu. Nampaknya keputusan sudah dibuat tanpa rasa sedar. Sekarang aku harus pandai mencorakkan langkah hidupku agar lebih teratur. Cara pemikiran juga harus lebih fokus. Walau kadang-kadang aku rasa keliru dengan hasrat hatiku, tapi apakan daya...semuanya sudah menjadi suratan hidup Nur Syafafwati Mohd Shahimi. Aku harus menghadapi dan melaksanakannya sebaik mungkin. Amanah yang dipegang tak boleh dimungkiri atau dikhianati. Kadang-kadang diri ini rasa seperti sudah terlalu penat dan tak mampu lagi untuk meneruskan semuanya. Tapi...ini semua satu ujian serta asam garam kehidupan. Aku...perlu kuat dan terus kuat.

Hati juga sedang menungu jawapan kepada sesuatu yang tak pasti. Entah bila baru aku mendapat jawapan kepada soalan tersebut. Kadang-kadang persoalan ini sering membuat aku rawan. Apa pun..aku meletakkan sepenuh pengharapanku kepada Dia yang berkuasa atas segala-galanya. Baru aku sedar, bukan mudah untuk menjadi seorang hamba kepada Khaliqnya...Bukan mudah untuk memiliki sekeping hati yang suci dan tulus mencintai serta mensyukuri sagala nikmat kurniaanNya...

Monday, November 9, 2009

Dairi Sebuah Kehidupan…

Bermula sejak aku mula menjejakkan kaki ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hingga ke detik-detik akhir aku di UIA. Pelbagai rasa dan pengalaman yang pernah aku lalui. Lumrah kehidupan…ada sedih,gembira, pahit, manis, suka dan duka. Pendek kata semua masam, manis kehidupan dah aku lalui disepanjang waktu ini. Ia terlalu berharga buat aku dan sukar untuk dilupai.

Aku, Nur Syafafwati Bt Mohd Shahimi bercita-cita untuk menjadi seorang puteri. Bukan puteri raja atau puteri kayangan tapi cukuplah sekadar seorang puteri bagi sebuah kehidupan di alam maya ini…huhu. Aku…dah pun menjadi puteri kepada pasangan Mohd Shahimi B Mohd Nordin dan Rohaya Bt La. Yaa….mereka mengakui sangat gembira dan bersyukur dengan anugerah dari Allah dengan kurniaan puteri sulung mereka ini yang sentiasa menjadi cahaya penawar di kala suka atau duka.

Aku bersyukur dengan kurnian Illahi ini kerana memberi aku peluang untuk merasai pahit, manis sebuah kehidupan sebagai seorang puteri dan juga hamba di muka bumi ini. Terutamanya peluang untuk belajar tentang erti hidup di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di sepanjang waktu ini, macam-macam yang dapat aku pelajari. Terutamanya bagaimana hendak menjadi seorang manusia yang berguna dan bermanfaat kepada agama, bangsa, dan negara.

Dari seorang yang penakut, aku menjadi seorang yang berani. Dari seorang yang pasif, aku menjadi seorang yang aktif. Dari seorang yang tak bermatlamat, aku menjadi seorang yang mempunyai jati diri. Dari seorang yang kurang ilmu, aku menjadi seorang yang lebih sikit je berilmu.

Kehidupan dahulu tidak seperti kehidupan yang sekarang terutamanya dari segi penghayatan dan cara berfikir. Sebagai seorang manusia…aku banyak kelemahan. Kehidupan ini banyak mengajar aku untuk menjadi lebih matang dan berpandangan luas. Iman bukan warisan tapi bergantung pada diri sendiri. Sejauh mana kita mampu hayati dan mengaplikasikannya dalam diri sendiri. Sucikanlah dirimu dan serulah yang lain…

Selama ini bermacam-macam ragam manusia aku jumpa. Semuanya menjadi kenangan yang terindah buat aku. Aku menjadi seorang yang suka memahami perangai manusia, lagi pelik lagi mencabar untuk aku hadami. Bak kata seorang SAHABAT, “Kita kena terima seadanya perangai seseorang” kerana tak semua manusia ni perangainya sama. Kalau semua sama, tak ada lah lagi suka dan duka sebuah kehidupan. Allah menjadikan manusia dari pelbagai jenis untuk mereka kenal-mengenali di antara satu sama lain. Ada juga seorang SAHABAT menyatakan, “Perangai bukan untuk difahami tapi untuk dirasai”.

Bila diimbas kembali…segala macam perangai ni, buat aku ketawa sendirian. Aku juga digelar sebagai ‘Pengkaji Perangai Manusia’ yang tak bertauliah. Bagi aku, ini semua adalah salah satu cara untuk memahami sebuah kehidupan yang berwarna-warni. Antara yang paling mencabar untuk aku hadapi adalah perangai panas baran. Berbakul-bakul airmata aku tumpah untuk hadapi insan ini. Aku berhenti menangis setelah terbaca, “Jangan tumpahkan airmata sia-sia. Tapi tumpahkan airmata hanya kerana takutkan Allah”. Moodnya sangat sukar diramal, kadang-kadang serius, kadang-kadang kelakar. Apa yang dia cakap jangan dibantah dan jangan sekali-kali siram minyak pada api yang tengah menyala. Selalunya mereka cepat sejuk, cuba untuk fahami mereka seadanya. Marah dan anginnya bertempat. Anginnya kerana keadaan yang kadang-kadang memaksa.

Satu lagi perangai yang tak boleh aku lupakan adalah tua sebelum masanya. Terlalu serius sepanjang masa dan terlalu matang. Boleh dikatakan seperti tak pernah melalui masa muda. Seorang yang idealistik dan bercita-cita tinggi tapi emosi cepat terusik (cepat merajuk). Berbicara dengannya perlu berhati-hati. Jangan sampai ada perkataan yang boleh mengguris hatinya. Perangai yang ini, belum sempat aku terokai kerana dia seperti tidak memberi peluang untuk aku fahami dirinya. Sudahnya dia pelik dengan perangai aku yang happy go lucky. Aku boleh untuk menjadi matang, tapi aku ingin mengajar dia untuk menjadi seorang yang lebih seimbang. Dalam hidup ini tiada kesempurnaan, tapi…ketawa kan penawar duka. Dia seperti tak boleh ikut dengan cara aku dan dia selalu cakap aku ni individu yang pelik yang selalu ketawakan dia. Tapi mengenali dia adalah perkara yang menarik dalam hidup aku.

Disebabkan aku suka untuk memahami orang…aku juga ingin difahami. Setakat ini hanya dua orang sahaja yang boleh dikatakan memahami aku. Mereka diantara sahabat yang aku tak malu atau segan untuk meluahkan segala apa yang aku rasa. Tak semua orang mampu untuk menjadi pendengar yang setia dengan respon yang menggembirakan. Aku seorang yang senang untuk meluahkan atau menzahirkan apa yang dirasa walau baru 10minit mengenali seseorang tu.

Terima kasih sahabat diatas segala kenangan-kenangan yang terindah ini. Kita bakal meninggalkan alam ini dan bakal melalui ke alam yang lain. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Sedih untuk dilalui tapi inilah yang dikatakan sebagai kehidupan. Tak mampu untuk aku coretkan semua kenangan…

Aku bukanlah manusia yang sempurna, tapi aku ingin menjadi seorang puteri yang boleh menjadi penawar kepada setiap insan yang aku kenali…




Puteri Kehidupan…

Saturday, November 7, 2009

Berdepan Dengan Bakal Isteri Dan Ibu

Masih teringat kata-katanya sewaktu saya meminta nasihat tentang panduan mendidik anak perempuan. Maklumlah, majoriti anak-anak saya lelaki. Adakalanya bagai ketandusan idea dan cara untuk berdepan dengan kerenah anak perempuan 

"Perlu banyak meraikan". 

Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tip mendidik anak perempuan. 

"Meraikan bagaimana?" 

"Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya." 

"Maksudnya?" 
"Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah." 

  

"Kenapa Tok Wan?" 

"Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan." 

"Itu pendekatannya, bagaimana pula prinsip asasnya?" 

"Wah, kau bertanya, macamlah Tok Wan ni seorang profesor!" 

Tok Wan bergurau. Sejenak kemudian, sambil tersenyum dia berkata, "Itu kena bayangkan...bakal isteri. Kemudian, bakal ibu!" 

Wah, Tok Wan dah mula bersilat kata! Saya perlu lebih kritis menyoalnya. 

"Bayangkan isteri? Isteri saya?" usik saya.  

"Anak perempuan kita bakal seorang isteri. Jadi bayangkan bagaimana sifat seorang isteri sejati. Itulah "end in mind" yang perlu sewaktu mendidik anak perempuan," jelas Tok Wan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan Barat itu. 

Belum sempat saya mencelah, soalan Tok Wan mula menerjah, "Apa kau inginkan daripada seorang isteri?" 

"Ketaatan", balas saya cepat. 

"Lalu didiklah anak perempuan tentang ketaatan. Latih agar dia patuh pada perintah yang baik. Apa lagi?" 

"Malu." 

"Didik supaya dia mengekalkan rasa malu pada tempat dan ketikanya. Latih dia sentiasa menjaga aurat, tidak meninggikan suara dan tidak lasak pada gerak fizikalnya. Ajar erti maruah dan harga diri. Lagi?" 

"Cantik...." 

"Wah, tak lupa ya....Latih supaya dia menjaga kecantikan, tingkah laku, wajah, pakaian, tempat tinggal, bilik dan lain-lain. Biar dia pandai menjaga kekemasan, kecantikan dan keindahan. Biar dia peka dengan nilai-nilai estetika. Lagi?" 

  

Saya diam. Dalam ruang fikiran tergambar isteri saya - ibu anak perempuan saya. 

"Kau lupa agaknya..." usik Tok Wan. 

"Tok Wan laju sangat...." 

"Anak perempuan mesti dibiasakan suka berada di rumah.Bukan bermakna dia tidak boleh keluar, tapi biasakan dia suka di rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil tapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya." 

"Ini payah Tok Wan, sekarang ini perempuan dah luas gelanggangnya!" 

"Ah, kekadang yang luas hanya gelanggangnya, tapi kecil peranannya. Sedangkan di rumah walaupun kecil gelanggangnya, tapi amat besar peranannya. Pernah dengar madah, tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia?" 

  

"Tadi Tok Wan kata, kena bayangkan juga bakal ibu." 

"Apa yang paling kau hargai daripada seorang ibu?" 

"Kasih sayangnya." 

"Didiklah agar anak perempuan agar bersifat pengasih. Pengasih dengan adiknya, abang, kakak, binatang peliharaan dan sebagainya. Sebab itu anak perempuan digalakkan bermain dengan anak patung. Itu menyuburkan rasa kasih sayang kepada bayi. Lagi?" 

"Sabar." 

"Seorang ibu perlu sabar; sabar menanggung perit kehamilan, sakit melahirkan, menjaga sakit-demam, ragam dan kerenah anak. Tanamkan sifat sabar anak perempuan dalam menanggung kesakitan, keletihan, kekecewaan dan sebagainya." 

  

"Mana lebih bayah didik anak perempuan atau anak lelaki?" tanya saya. Dia senyum sinis. Terasa bodoh pula menyoal begitu. 

"Soalan itu tidak betul! Sepatutnya soalannya begini, ada beza tak antara mendidik anak lelaki dengan anak perempuan? Senang dan susah itu terlalu relatif dan subjektif sifatnya." 

"Beza tak?" pintas saya penuh akur. 

"Tentulah, sebab lelaki dan wanita memang berbeza. Tuhan jadikan darjat kedua-duanya sama, tapi peranannya berbeza. Bukan sahaja ciri-ciri fizikal berbeza tetapi ciri-ciri rohaniahnya jua." 

"Kata orang bela lembu 10 ekor lebih mudah daripada seorang anak perempuan." 

"Perbandingan yang tak relevan. Manusia berbeza dengan lembu. Kita ada hati, akal dan perasaan." 

"Tapi tak ada yang kata membela 10 ekor lembu lebih mudah daripada seorang anak lelaki..." 

"Terpulang pada "gembala"nya. Kena gaya dan caranya, 10 orang anak perempuan pun boleh dijaga." 

  

"Apa tip Tok Wan untuk Sang Gembala?" 

"Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri yang solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita kelak bakal mendapat ibu yang mithali?" 

"Lagi Tok Wan?" 

"Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!" 

"Lagi Tok Wan?" 

"Last but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!" 

Saya terdiam. Diam yang panjang. Perlukah saya menyoal lagi?

*Artikel dipetik dari buku Ust Pahrol

Monday, November 2, 2009

Special Dedicated…


Two angels assigned to record our deeds,
Whilst some take care of our needs
Like bringing us sunshine and also the rain
Like protecting us from harm and also from
pain…

There is another creation – it is called man
They live on Earth for very short span
After time expired they shall return
And through their deeds paradise are earned…

On the last day souls will be raised
And we will face Allah – the most praised
Standing before Allah, what face will we show?
When the truth of our actions will freely flow…

…Apabila melayang daripada pegangan
baru terasa segalanya hilang. Dan apabila
diuji sebegini hebat baru terasa di mana
letaknya hati…

Truly,
The Slave of Allah…



Friday, October 16, 2009

Sambutan Hari Raya di JHEOA










Sebenarnya ter'influence' dengan blog orang lain buat aku pun nak berbakti pada orang asli gak. Walaupun dah pernah gi beberapa kampung dan dah pernah pun jadi anak angkat diorang...tapi itu dulu, 2 tahun lepas. Jadi sekarang ni baru nak bergiat semula...

Semalam, ari Jumaat aku dan sahabat-sahabat yang lain berpeluang untuk berjamuan Hari Raya di Hospital Orang Asli...

Tuesday, September 22, 2009

Sepanjang Ramadhan…


Ramadhan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh setiap insan yang beragama Islam. Malam pertama Ramadhan aku sambut dengan solat terawih dan tazkirah ringkas bersama-sama dengan sahabat-sahabat seperjuangan. Sepanjang Ramadhan ini, macam-macam pengalaman yang aku lalui…ada suka, duka, pahit, manis…yang lucu dan mengarut pun ada…

Sepanjang Ramadhan ini juga…aku banyak mengenali hati budi dan ragam perangai sahabat-sahabat. Banyak yang aku kongsikan bersama mereka. Minggu pertama Ramadhan aku demam kerana melayani kerenah sahabat-sahabat…tapi aku gagahkan juga diri untuk berpuasa walaupun sepanjang hari aku habiskan dengan hanya berbaring tanpa mahu pergi ke klinik. Ramai juga yang risaukan aku. Sayang juga mereka pada aku.

Kadang-kadang aku rasa kelakar dan serik untuk bersama dengan ‘mereka’ lagi kerana setiap kali bersama ‘mereka’, aku rasa seperti dibuli walau ada yang mempertahankan aku. Aku bukan jenis yang suka marah dan aku tak suka jadi pemarah. Tapi…disebabkan seorang ni, aku selalu panas hati sepanjang Ramadhan ini. Aku mengaku yang aku gagal mendidik jiwa aku untuk lebih tenang dan sabar…Inilah asam garam kehidupan sebenarnya. Kadang-kadang setiap yang terjadi itu ada kemanisannya.

Ramadhan ini juga…aku sering bersedih hati disebabkan perkara yang kecil. Memang perkara ini kecil, aku pun tak tahu mengapa aku nak terlebih-lebih terasa hati. Dah memang aku ni cepat terasa, nak buat macam mana. Aku gagal mendidik hati untuk jadi lebih tabah. Mungkin diorang buat semua ni demi kebaikan aku. Tapi sebenarnya aku rasa lebih tersisih…bukan ini yang aku mahukan. Kalau ini yang bakal terjadi…aku rela melepaskan ‘ia’ dari dulu lagi. Setelah banyak yang kita lalui bersama…aku dipinggirkan tanpa seorang pun yang perasan. Tak pe lah…kalau ini takdirnya, aku terima dengan hati yang terluka sebab masih belajar untuk redha.

Ramadhan kali ini…aku rasa macam dah raya sebelum waktunya. Mana taknya…asyik memenuhi jemputan untuk berbuka ke sana sini. Boleh dikira dengan jari berapa hari je aku berbuka puasa di bilik…Tu sebabnya bila tiba Syawal, aku tak rasa macam raya…

Ramadhan ini juga aku merasai suatu pengalaman yang sangat melucukan…satu janji temu yang sangat lucu aku kira bertemankan kawan yang gila-gila…jadi aku pun sama gila-gila jadinya. Disebabkan hal ini aku ‘direject’ sebab berperangai seperti budak-budak…huhu.

Apa pun…semua yang terjadi diatas mempengaruhi ‘mood’ aku untuk lebih serius dan fokus dalam berinduksi. Membuatkan aku bertambah menjadi seperti bukan diriku yang sebenar…

Kesimpulannya…Ramadhan kali ini sangat berbeza dengan Ramadhan yang lepas. Aku perlu muhasabah balik diri ini. Dosa pun semakin bertambah…aku perlu koreksi kembali diri ini untuk menjadi lebih baik…Apa pun yang terjadi, madrasah Ramadhan baru sahaja meninggalkan aku. Kesedihan menyelubungi diri…amalan perlu dikekalkan dan dipertingkatkan lagi…