My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, November 9, 2009

Dairi Sebuah Kehidupan…

Bermula sejak aku mula menjejakkan kaki ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hingga ke detik-detik akhir aku di UIA. Pelbagai rasa dan pengalaman yang pernah aku lalui. Lumrah kehidupan…ada sedih,gembira, pahit, manis, suka dan duka. Pendek kata semua masam, manis kehidupan dah aku lalui disepanjang waktu ini. Ia terlalu berharga buat aku dan sukar untuk dilupai.

Aku, Nur Syafafwati Bt Mohd Shahimi bercita-cita untuk menjadi seorang puteri. Bukan puteri raja atau puteri kayangan tapi cukuplah sekadar seorang puteri bagi sebuah kehidupan di alam maya ini…huhu. Aku…dah pun menjadi puteri kepada pasangan Mohd Shahimi B Mohd Nordin dan Rohaya Bt La. Yaa….mereka mengakui sangat gembira dan bersyukur dengan anugerah dari Allah dengan kurniaan puteri sulung mereka ini yang sentiasa menjadi cahaya penawar di kala suka atau duka.

Aku bersyukur dengan kurnian Illahi ini kerana memberi aku peluang untuk merasai pahit, manis sebuah kehidupan sebagai seorang puteri dan juga hamba di muka bumi ini. Terutamanya peluang untuk belajar tentang erti hidup di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di sepanjang waktu ini, macam-macam yang dapat aku pelajari. Terutamanya bagaimana hendak menjadi seorang manusia yang berguna dan bermanfaat kepada agama, bangsa, dan negara.

Dari seorang yang penakut, aku menjadi seorang yang berani. Dari seorang yang pasif, aku menjadi seorang yang aktif. Dari seorang yang tak bermatlamat, aku menjadi seorang yang mempunyai jati diri. Dari seorang yang kurang ilmu, aku menjadi seorang yang lebih sikit je berilmu.

Kehidupan dahulu tidak seperti kehidupan yang sekarang terutamanya dari segi penghayatan dan cara berfikir. Sebagai seorang manusia…aku banyak kelemahan. Kehidupan ini banyak mengajar aku untuk menjadi lebih matang dan berpandangan luas. Iman bukan warisan tapi bergantung pada diri sendiri. Sejauh mana kita mampu hayati dan mengaplikasikannya dalam diri sendiri. Sucikanlah dirimu dan serulah yang lain…

Selama ini bermacam-macam ragam manusia aku jumpa. Semuanya menjadi kenangan yang terindah buat aku. Aku menjadi seorang yang suka memahami perangai manusia, lagi pelik lagi mencabar untuk aku hadami. Bak kata seorang SAHABAT, “Kita kena terima seadanya perangai seseorang” kerana tak semua manusia ni perangainya sama. Kalau semua sama, tak ada lah lagi suka dan duka sebuah kehidupan. Allah menjadikan manusia dari pelbagai jenis untuk mereka kenal-mengenali di antara satu sama lain. Ada juga seorang SAHABAT menyatakan, “Perangai bukan untuk difahami tapi untuk dirasai”.

Bila diimbas kembali…segala macam perangai ni, buat aku ketawa sendirian. Aku juga digelar sebagai ‘Pengkaji Perangai Manusia’ yang tak bertauliah. Bagi aku, ini semua adalah salah satu cara untuk memahami sebuah kehidupan yang berwarna-warni. Antara yang paling mencabar untuk aku hadapi adalah perangai panas baran. Berbakul-bakul airmata aku tumpah untuk hadapi insan ini. Aku berhenti menangis setelah terbaca, “Jangan tumpahkan airmata sia-sia. Tapi tumpahkan airmata hanya kerana takutkan Allah”. Moodnya sangat sukar diramal, kadang-kadang serius, kadang-kadang kelakar. Apa yang dia cakap jangan dibantah dan jangan sekali-kali siram minyak pada api yang tengah menyala. Selalunya mereka cepat sejuk, cuba untuk fahami mereka seadanya. Marah dan anginnya bertempat. Anginnya kerana keadaan yang kadang-kadang memaksa.

Satu lagi perangai yang tak boleh aku lupakan adalah tua sebelum masanya. Terlalu serius sepanjang masa dan terlalu matang. Boleh dikatakan seperti tak pernah melalui masa muda. Seorang yang idealistik dan bercita-cita tinggi tapi emosi cepat terusik (cepat merajuk). Berbicara dengannya perlu berhati-hati. Jangan sampai ada perkataan yang boleh mengguris hatinya. Perangai yang ini, belum sempat aku terokai kerana dia seperti tidak memberi peluang untuk aku fahami dirinya. Sudahnya dia pelik dengan perangai aku yang happy go lucky. Aku boleh untuk menjadi matang, tapi aku ingin mengajar dia untuk menjadi seorang yang lebih seimbang. Dalam hidup ini tiada kesempurnaan, tapi…ketawa kan penawar duka. Dia seperti tak boleh ikut dengan cara aku dan dia selalu cakap aku ni individu yang pelik yang selalu ketawakan dia. Tapi mengenali dia adalah perkara yang menarik dalam hidup aku.

Disebabkan aku suka untuk memahami orang…aku juga ingin difahami. Setakat ini hanya dua orang sahaja yang boleh dikatakan memahami aku. Mereka diantara sahabat yang aku tak malu atau segan untuk meluahkan segala apa yang aku rasa. Tak semua orang mampu untuk menjadi pendengar yang setia dengan respon yang menggembirakan. Aku seorang yang senang untuk meluahkan atau menzahirkan apa yang dirasa walau baru 10minit mengenali seseorang tu.

Terima kasih sahabat diatas segala kenangan-kenangan yang terindah ini. Kita bakal meninggalkan alam ini dan bakal melalui ke alam yang lain. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Sedih untuk dilalui tapi inilah yang dikatakan sebagai kehidupan. Tak mampu untuk aku coretkan semua kenangan…

Aku bukanlah manusia yang sempurna, tapi aku ingin menjadi seorang puteri yang boleh menjadi penawar kepada setiap insan yang aku kenali…




Puteri Kehidupan…

No comments: