My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, March 17, 2010

Teori Muhtar Suhaili

Teori MUKHTAR©

“2nd Runner-Up, Most Outstanding Youth Of 2007 Award”

Teori MUKHTAR© – Resipi Kejayaan Dunia dan Akhirat: Alhamdulillah di atas segala-galanya. Selain kerjaya dan khidmat tugas sebagai seorang jurutera, saya juga sering diundang (diberi amanah) untuk menyampaikan ceramah motivasi, kepimpinan, pengucapan awam, pengurusan, kuliah ilmiah, tazkirah agama dan seumpamanya. Antara intipati utama isi ceramah motivasi yang sering saya sampaikan dan saya suka untuk kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian ialah satu petua yang saya namakan sebagai Teori MUKHTAR©. Terdapat 2 Teori MUKHTAR© yang ingin dikongsikan untuk sama-sama kita diskusi, implementasi dan uji keberkesanannya.

Teori MUKHTAR© yang pertama ialah satu prinsip yang boleh digunapakai oleh sesiapa sahaja, di mana saja dan bila-bila masa sahaja sepanjang menjalani kehidupan dunia sebagai seorang manusia amnya dan Muslim khususnya. Teori MUKHTAR© untuk kehidupan yang berdasarkan akronim M.U.K.H.T.A.R. adalah seperti berikut:

M = Mission
U = Ummatic
K = Knowledge
H = Holistic
T = Tarbiyyah
A = Altruistic
R = Rabbaniyyah

Sebenarnya teori ini (sekiranya ia sesuai untuk dianggap sebagai teori) amat relevan untuk diadaptasi di dalam kehidupan. Apapun sebagai tazkirah diri, perlu juga dinyatakan secara tegas di sini betapa tujuan dakwah bukanlah untuk mempopularkan diri, tetapi sebaliknya tujuan dakwah adalah untuk mempopularkan ALLAH SWT, menjadikan Rasulullah sebagai Diva (Qudwah), pengajian agama sebagai Akademika Fantastika dan memastikan ajaran agama sebagai syllabus kehidupan.

Secara ringkas dikongsikan perincian dari prinsip atau teori di atas. Elemen pertama ialah perlunya seseorang itu mempunyai misi yang jelas dan tepat di dalam hidupnya. Apa yang dia mahu dari hidup ini? Adakah sekadar lahir, makan, minum, ke tandas, berkahwin, beranak-pinak, kemudian menganjak usia senja dan akhirnya mati?? Atau sekadar menjadi bayi kemudian membesar menjadi kanak-kanak, lalu menjadi remaja, belia, dewasa, seterusnya bergelar veteran dan penghujungnya menjadi seorang tua yang menanti saat kematian yakni ajal yang pasti tiba??

Justeru persoalan misi hidup ini sebenarnya amat penting untuk diperjelaskan, difahami dan dipakubesikan di minda dari awal kehidupan seseorang agar dia berjaya di dunia dan di Akhirat. Sebab itu, saya sering menyatakan di dalam ceramah motivasi yang disampaikan bahawa insan cemerlang mempunyai peta dan kompas hidup serta berminda futuristik. Ini amat penting kerana bila matlamat dan haluan kehidupan seseorang itu adalah matlamat dan haluan yang Rabbani, bererti dia telah mengetahui dari mana dia datang dan ke manakah dia akan pergi serta manakah tempat kekalnya.

Jadilah Insan Yang Berjiwa Besar

“Rahsia Kejayaan: Jadilah Insan Berjiwa Besar”

Setelah misi hidup sudah jelas, maka seterusnya ia perlulah bersifat ummatik dari segi prinsipnya kerana Islam adalah agama yang bersifat ‘alamiyyah (sejagat) sehinggakan Rasulullah itu sendiri diutus untuk rahmat sekalian alam. Pendek kata, moto “Ummah Kita Tanggungjawab Kita” perlu dijiwai bersama oleh seluruh Muslimin sedunia ke arah mencipta kejayaan hakiki.

Malah adalah menjadi tabiat semulajadi manusia suka dikasihi dan mengasihi antara satu sama lain. Rasulullah SAW sendiri menyeru umatnya agar saling berkasih sayang sesama Islam, sebagaimana hadith Baginda, maksudnya:

“Dari Annas r.a., dari Nabi SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.”" (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Lebih daripada itu, tidak boleh tidak ilmu juga adalah prasyarat utama untuk kejayaan di dua dunia. Fahamilah firman ALLAH SWT di dalam Surah Al-Mujaadalah, ayat 11: “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Malah Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim”. Dan seperkara lagi ialah perlu juga difahami bahawa “ilmu tanpa amal adalah seperti pohon tanpa buah, seperti awan tanpa hujan.”

Selanjutnya, secara tuntas untuk menjadi insan yang benar-benar cemerlang, saya berpendirian, yakin dan percaya betapa ia perlu holistik dari segi sifat serta pendekatannya. ‘Re-engineering’ modul pembangunan insan perlu kepada asimilasi antara kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ) yang juga merupakan penanda aras ke arah melahirkan manusia ideal yang berjaya dunia dan Akhirat. Malah Ary Ginanjar Agustian, penulis Indonesia yang saya kagumi di dalam bukunya ESQ Power menyatakan bahawa: “nilai-nilai ESQ yang diadun dengan IQ akan meningkatkan kemampuan untuk mengangkat suara hati spiritual yang paling dalam (unconscious mind) sehingga sumber kecerdasan spiritual yang terletak pada God Spot manusia dapat dizahirkan dalam kehidupan sehari-hari.”

Justeru proses pembentukan insan cemerlang mesti mengambil kira ketiga-tiga aspek ini: IQ, EQ & SQ. Malangnya, sistem pendidikan kini lebih fokus kepada pembangunan IQ dan mengambil ringan aspek EQ dan SQ. Sedangkan didapati IQ hanya memainkan peranan 6% dalam pembentukan peribadi sedangkan 94% lagi adalah ditentukan oleh EQ dan SQ. Dan semuanya ini memerlukan tarbiyyah yakni pendidikan dan latihan yang berterusan.

Malah melalui teori ini saya turut berhujah bahawa perlunya kecemerlangan hidup itu dicerna dengan pendekatan yang altruistik (altruistik maknanya melebihkan orang lain dari diri sendiri, kata lawannya ialah egoistik/ individualistik) dan dipimpin dengan akhlaq yang baik melalui pembudayaan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Pembentukan ukhuwwah Islamiyyah amat penting ke arah menjayakan segala perancangan dan modus operandi pemerkasaan umat dan dalam usaha untuk mengembalikan zaman emas kegemilangan Islam. Dalam hal ini, gurindam Raja Ali Haji ada kerelevanannya untuk dihayati bersama:

Cari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan ubat;
Cari olehmu akan guru yang mengenal segala seteru;
Cari olehmu akan isteri yang boleh menyerahkan diri;
Dan jadi olehmu akan abdi yang ada baik budi.

Secara khulasah dan sebagai konklusinya semua pendekatan dalam teori ini sebenarnya anak tangga menuju redha ALLAH dan oleh kerana ALLAH matlamatnya maka ciri rabbaniyyah tidak boleh tidak merupakan teras utama pemacu ke arah tercapainya impian murni kehidupan.


Seterusnya, Teori MUKHTAR© kedua yang ditujukan khas buat para pelajar dan mahasiswa serta saya syorkan dijadikan sebagai panduan untuk menempah kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan. Berikut merupakan makna tersurat dan tersirat yang ingin saya majukan yang juga dicerakinkan berdasarkan akronim M.U.K.H.T.A.R. tersebut:

M = Matlamat yang jelas dan tepat
U = Usaha yang tidak mengenal jemu
K = Kesungguhan untuk berjaya
H = Hero nan hebat
T = Teknik dan strategi
A = Altruistik dan akhlaq
R = Religious conscious yakni berkesedaran agama yang tinggi.

Buat akhirnya, ayuh bersama kita renungkan Sabda Baginda Rasulullah SAW:

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: “Rasulullah SAW memegang pundakku dan bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau penyeberang jalan.” Ibnu Umar r.a. berkata: “Jika kamu berada di petang hari, jangan menunggu pagi, dan jika engkau di pagi hari janganlah menunggu petang. Ambillah persiapan saat engkau sihat untuk menghadapi masa sakitmu dan saat hidupmu untuk sesudah kematianmu” (Hadith Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

No comments: