Melihat kepada isu-isu terkini, rata-rata adalah mengenai masalah remaja zaman sekarang. Mengapa ini semua terjadi? Salah siapa? Ibubapa?Guru?Kawan-kawan?Faktor sekeliling? Atau Sistem Pendidikan Negara? Tanpa kita sedari kesemua faktor ini sangat berkait rapat dengan pembentukkan jatidiri anak-anak muda zaman sekarang.
Tanpa perhatian yang serius dari semua pihak, masalah ini semakin lama akan menjadi semakin rumit. Ini kerana corak pembentukkan generasi muda pada zaman sekarang akan memberikan impak yang besar kepada masa depan Negara akan datang.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Berikutan dengan masalah tersebut, didiklah anak pada 5 perkara:
1. Akhlak dengan Ibu Bapa
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hokum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (surah al-Nur 24:58)
Anak-anak tidak dibenarkan masuk bilik ibu bapa pada waktu Subuh, tengah hari sebelum Zuhu dan pada waktu malam selepas Isyak kecuali dengan terlebih dahulu meminta izin kedua-duanya. Larangan sebegini harus dilatih dan dibiasakan.
Anak-anak juga perlu dilatih supaya mendengar kata-kata ibu dan bapa demi kebaikan mereka jua. Pendekatan latih tubi perlu sehingga anak itu akan sensitive setiap perintah dan larangan kedua ibu bapanya.
2. Akhlak Ketika Makan
Anak-anak perlu dilatih supaya makan secara berjemaah bersama ibu bapa dan siapa sahaja yang ada dalam rumah itu. Mereka juga wajar dibiasakan dengan bacaan doa sebelum memulakan makan, dan dibiasakan dengan mengambil makanan yang dekat terlebih dahulu.
Latih anak-anak menunggu ibu bapa mengambil tempat makan dan bapa memulai makan, baru diikuti oleh anak-anak. Adab itu perlu dibiasakan di rumah supaya dengan itu dia akan tahu beradab ketika makan di majlis orang lain.
3. Akhlak dengan Kawan-kawan
Dalam berkawan, anak-anak harus dibiasakan dengan adab sopan budi bahasa yan baik. Sewaktu bercakap, biasakan supaya bercakap benar dan bertolak ansur pada perkara yang tidak melanggar syariat. Tetapi sebaliknya harus bertegas dalam perkara yang menyalahi syariat.
4. Akhlak dengan Guru
Guru perlu dihormati baik semasa di sekolah mahupun di luar sekolah. Anak-anak perlu diingatkan hal ini supaya dia tidak bersikap biadap dengan guru. Ilmu yang disampaikan oleh guru perlukan keberkatan, barulah ilmu itu bermanfaat kepada anak muridnya. Jadi, anak-anak perlu faham perkara ini.
Oleh sebab itu, sebelum anak memasuki dewan peperiksaan, dia perlu memohon restu dan memohon kemaafan daripada guru yang mengajarnya. Inilah yang lazimnya diamalkan oleh murid-murid pada zaman dahulu.
5. Akhlak dengan Orang Tua
Anak-anak juga perlu dibiasakan menghormati orang tua selain ibu bapanya. Untuk itu anak-anak harus dibawa berjemaah di surau atau masjid. Di sana dia boleh bermasyarakat dengan jemaah yang terdiri daripada orang tua dan muda.
No comments:
Post a Comment