My Love...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, April 24, 2009

MEMBENTUK PERIBADI MUKMIN SEJATI

Tugas setiap peribadi itu ialah memperbaiki keadaan agama dirinya dari kurang kepada lebih taat kepada Allah s.w.t. Ketaatan ini tidak datang dengan mudah. Ia perlu diusahakan siang dan malam. Usahanya mestilah bermula dari pembaikan imannya. Hendaklah berusaha untuk meningkatkan iman kepada Allah s.w.t. Yakin kepada kebesaran dan kekuatan Allah s.w.t. Perlu disemai dan ditanam di dalam hati lantaran yakin ini akan membenihkan takwa. Amalan yang dilakukan hendaklah sejajar dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Kehidupan hendaklah dilalui dengan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Solat lima waktu hendaklah dijaga, solat berjemaah mesti dititikberatkan lantaran orang yang memakmurkan rumah Allah dan hari akhirat. Ilmu agama mesti dicari di mana sahaja kerana ia akan memperbaiki agama. Allah hendaklah sentiasa diingati. Zikir kepadaNya jangan semata-mata untuk memperolehi keredhaan Allah s.w.t. Agama perlu diperjuangkan dengan menjadikan sebahagian maksud hidup. Orang Islam yang tidak mempunyai perjuangan dalam hidupnya khususnya berjuang untuk agama, ibarat orang yang tidak mempunyai manfaat apa-apa. Ia hanya menjadi hamba perut dan syahwatnya semata.

Cara Memelihara Akhlak Yang Baik

Telah kita ketahui bahawa akhlak yang baik bersumber pada kekuatan akal yang sederhana dan seimbang, hikmah yang sempurna, emosi dan ambisi (syahwah) yang seimbang dan dikendalikan sepenuhnya oleh akal dan syariat.

Keseimbangan dan keserasian seperti ini dapat dicapai melalui dua cara:

Cara pertama, melalui anugerah Ilahi dan kesempurnaan fitri. Iaitu ketika seorang manusia dicipta dan dilahirkan dalam keadaan memiliki akal yang sempurna dan perangai yang baik; dengan kekuatan ambisi dan emosi yang terkendali, sedang, seimbang dan sederhana, serta bersesuaian dengan akal dan syariat.

Dengan keadaan seperti itu ia adalah seorang berilmu tanpa belajar dan terdidik tanpa didikan. Contohnya, Isa bin Maryam, Yahya bin Zakaria (a.s.) dan para nabi selain keduanya.

Meskipun demikian, tidaklah dinafikan bahawa di antara pelbagai tabiat dan naluri manusia, ada juga yang dapat dimiliki dengan upaya dan usaha sungguh-sungguh. Maka adakalanya seorang anak dikenal sejak dilahirkan sebagai seorang yang lurus ucapannya, pemurah dan berani. Sedangkan yang lainnya, memperoleh perangai-perangai seperti itu melalui pergaulannya dengan orang-orang yang menyandang akhlak seperti itu. Dan adakalanya pula ia meraihnya dengan cara belajar dari orang-orang di sekelilingnya.

Cara kedua, ialah dengan memperoleh perangai-perangai ini melalui perjuangan melawan nafsu (mujahadah) dan latihan-latihan rohani (riyadhah). Yakni dengan memaksakan atas diri seseorang perbuatan-perbuatan tertentu yang merupakan buah dari suatu jenis perangai yang ingin dimiliki.
Sebagai contoh, seorang yang menginginkan sifat kedermawanan pada dirinya. Untuk itu, ia harus memaksakan pada dirinya sendiri, agar melakukan hal-hal yang biasa dilakukan oleh seorang dermawan. Iaitu menginfakkan harta. Maka ia terus-menerus menuntut dirinya agar melakukan hal itu dan menjadikannya sebagai kebiasaannya, untuk waktu yang cukup lama. Sementara itu ia harus berusaha untuk melawan kecenderungan dirinya sendiri, sedemikian sehingga pada akhirnya perbuatan seperti itu menjadi tabiat baru baginya dan ia melakukannya dengan hati dan perasaan ringan. Baru setelah itu, ia dapat disebut sebagai seorang dermawan.

Begitu juga seorang yang ingin menjadikan dirinya bersikap rendah hati, sedangkan ia sebelumnya telah dikuasai oleh sikap sombong. Cara yang harus ditempuh adalah membiasakan dirinya, dalam waktu yang cukup lama, untuk bertindak seperti layaknya orang-orang yang tawaduk sambil memaksa dan memerangi hawa nafsunya sendiri. Hal ini hendaklah dilakukan sampai sifat tawaduk itu melekat dan menjadi tabiat baru baginya serta terasa mudah dan ringan ketika melaksanakannya.